Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tampil memberi gambaran sebenar tentang situasi yang sedang melanda pasukan Kuala Lumpur City ketika ini.
Dalam satu sesi sidang media yang bertempat di Kuala Lumpur hari ini, Khalid menyatakan bahawa kelab sentiasa berusaha untuk melunaskan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan. Bagaimanapaun beliau akui bahawa terdapat kekangan yang dihadapi pasukan berkenaan dana pada setiap musim.
Beliau turut menjelaskan perpindahan ketua jurulatih KL City sebelum ini iaitu Bojan Hodak dan tiga pemain utama yang lain seperti Kevin Ray Mendoza, Romel Morales dan Akram Mahinan adalah kerana isu politik yang membelenggu pasukan dari dahulu hingga kini.
“Sebab hal politik ini, saya kehilangan Bojan Hodak, saya hilang Kevin Mendoza, saya hilang Romel Morales dan saya hilang Akram Mahinan. Pemain-pemain utama terpaksa saya lepaskan kerana apa? Kerana kita dah langgar kontrak, kita tak boleh tahan dia.”
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan ini dalam pada itu sempat meninggalkan nasihat buat individu yang mengambil alih tampuk kepimpinan pasukan. Khalid menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk segera selesaikan kemelut yang sedang melanda pasukan ketika ini.
“Jadi orang yang nak ambil alih pasukan ini, dia tak pentingkan pasukan. Dia tak pentingkan KLFA, dia pentingkan diri dia. Macam mana saya nak serah jawatan Presiden KLFA pada orang yang macam ini.”
“Saya dah letak jawatan untuk beri laluan pada kamu, tapi kamu masih tidak menjaga kebajikan KLFA dan pemain,” ujar Khalid Samad.
Dalam kempen Liga Super 2024/2025, KL City ketika ini menghuni kedudukan kelima dalam carta liga selepas merekodkan satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kelalahan selepas tiga perlawanan.