Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo memaklumkan beliau akan terus kekal berada di Arab Saudi.
Hal ini dinyatakan beliau selepas membantu kelabnya, Al-Nassr menewaskan Al-Hazem 4-0. Ronaldo turut mencetak dua gol dalam perlawanan tersebut.
Bekas bintang Bayern Munich, Kingsley Coman dan Angelo Gabriel masing-masing turut mencetak nama sebagai penjaring.
Selepas perlawanan, Ronaldo menyatakan komitmen untuk kekal berada di Arab Saudi. “Saya milik Arab Saudi. Saya mahu terus berada di sini.
“Inilah negara yang mengalu-alukan saya, keluarga dan rakan-rakan saya. Saya gembira berada di sini dan saya mahu terus berada di sini,” katanya seperti dilaporkan Fabrizio Romano.
Kenyataan ini sekaligus memadamkan ketegangan yang tercetus antara beliau dan kelab itu baru-baru ini. Ketegangan ini timbul apabila pesaing Al-Nassr, Al-Hilal mendapatkan khidmat Karim Benzema.
Situasi ini menyebabkan Ronaldo melancarkan mogok dan tidak beraksi untuk Al-Nassr untuk beberapa perlawanan.