Hubungan Cristiano Ronaldo dan kelabnya, Al-Nassr semakin tegang.
Susulan mogok yang dilancarkan beliau baru-baru ini, Ronaldo tidak disenaraikan dalam dua aksi terbaru Al-Nassr. Ini termasuk kemenangan 2-0 ke atas musuh tradisi, Al-Ittihad.
Ronaldo melancarkan mogok selepas tidak berpuas hati dengan cara Al-Nassr diuruskan pemilik, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF).
Ini kerana PIF membenarkan satu lagi kelab mereka, Al-Hilal untuk mendapatkan bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema dari Al-Ittihad.
Saudi Pro League (SPL) kemudiannya membidas Ronaldo dengan mengingatkan setiap kelab memiliki kebebasan untuk membuat keputusan dan hala tuju masing-masing.
Mogok tersebut turut mencetuskan keraguan sama ada Ronaldo akan dapat beraksi dalam aksi-aksi berikutnya termasuk kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ketegangan antara Ronaldo dan Al-Nassr juga mencetuskan spekulasi tentang masa depan beliau di Arab Saudi.
The Mirror melaporkan susulan isu yang timbul, Al-Nassr mahu mendapatkan kapten Manchester United, Bruno Fernandes atau Mohamed Salah.
Kelab itu juga bersedia menjual Ronaldo dengan yuran perpindahan €43 juta (RM200 juta). Satu kelab yang dilaporkan berminat dengan prospek tersebut ialah kelab pertamanya, Sporting Lisbon.
Meskipun begitu, Sporting dijangka bergelut untuk memenuhi tuntutan kelab Arab Saudi itu. Selain itu, Ronaldo juga masih memiliki baki kontrak setahun lagi selepas memeterai kontrak baru pada 2025.