Cristiano Ronaldo Umum Kekal Di Al-Nassr
MakanBola
Al-Nassr FC

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mengumumkan keputusan untuk kekal bersama Al-Nassr pada musim hadapan.

Keputusan itu didedahkan sendiri legenda Manchester United itu selepas aksi final Liga Negara-Negara UEFA (UNL) antara Portugal dan Sepanyol.

“Tiada yang berubah. Jadi, (tentang kekal di) Al-Nassr? Ya!” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

“Anda sudah tahu tentang usia saya, saya semakin menghampiri penghujung karier berbanding ketika saya berada di permulaan karier tapi saya harus menikmatinya setiap minit.

“Jika saya tidak mengalami kecederaan serius, saya akan terus bermain.”

Keputusan ini sekaligus menamatkan desas-desus masa depan Ronaldo bersama kelab gergasi Arab Saudi itu.

Selepas kontraknya akan berakhir pada 30 Jun ini, beliau dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk musuh ketat Al-Nassr, Al-Hilal.

Walau bagaimanapun, ramai penyokong yakin penyerang berbisa berusia 40 tahun itu akan kekal bersama Al-Nassr.

Ronaldo ceria apabila membantu A Selecao muncul juara UNL. Mereka menewaskan juara EURO 2024, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti.