UNL: Portugal Tewaskan Sepanyol
MakanBola
UEFA

Portugal muncul juara Liga Negara-Negara UEFA (UNL) apabila menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Aksi final ini cukup penting kerana menampilkan dua figura berbakat besar, Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Lamine Yamal (Sepanyol). Selain itu, ini juga peluang buat kedua-dua negara menambah koleksi trofi UNL.

Ronaldo bergandingan dengan Francisco Conceicao dan Pedro Neto sebagai sandaran gol A Selecao. La Roja pula mempertaruhkan Yamal, Mikel Oyarzabal dan Nico Williams.

Separuh masa pertama menyaksikan Joao Neves hampir meletakkan Portugal di hadapan seawal minit kelima. Malangnya, percubaan pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu tersasar.

12 minit kemudian, giliran Williams pula hampir menggegar gawang A Selecao. Pemain sayap Athletic Bilbao itu cuba menjaringkan gol tetapi usahanya tidak berhasil.

Gol pendahuluan yang dicari La Roja muncul pada minit ke-21. Sasaran Arsenal, Martin Zubimendi mudah menolak bola melepasi Diogo Costa selepas bola terkena badan pemain A Selecao, Ruben Dias.

Pemain Portugal cuba membantah keputusan gol tersebut. Walau bagaimanapun, gol tersebut tetap dikira oleh VAR selepas mereka mendapati Zubimendi tidak melakukan kesalahan ketika menjaringkan gol.

Keceriaan kem Sepanyol hanya bertahan selama lima minit. Pemain pertahanan PSG, Nuno Mendes melepaskan satu rembatan deras yang menewaskan Unai Simon.

La Roja memastikan mereka mendahului 2-1 sehingga rehat. Oyarzabal mudah menolak bola melepasi Dias dan Goncalo Inacio bagi memastikan Sepanyol berada di hadapan.

Bersambung selepas rehat, pengendali Portugal, Roberto Martinez membuat dua pertukaran pemain. Beliau memasukkan Ruben Neves dan Nelson Semedo untuk memantapkan semula pasukan itu.

Ronaldo kemudiannya menyumbat gol ke-138 buat A Selecao pada minit ke-61. Beliau berjaya mengatasi Marc Cucurella sebelum menolak bola melepasi Simon.

Portugal kemudiannya mendakwa mereka sepatutnya dianugerahkan penalti selepas bola Bruno Fernandes terkena tangan pemain lawan. Walau bagaimanapun, itu dinafikan oleh VAR.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat 90 minit. Keadaan ini menyaksikan perlawanan dibawa ke masa tambahan.

Sepanyol bernasib baik tidak beraksi dengan 10 pemain apabila Alex Baena dikesan mengasari pemain A Selecao. Baena hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Sandro Scharer.

Selepas 120 minit, kedua-dua pasukan masih terikat 2-2. Keadaan ini menyaksikan penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan pemenang.

Selepas kedua-dua pasukan berjaya menyempurnakan penalti, La Roja bernasib malang apabila penalti Alvaro Morata dinafikan Costa.

Itu sudah cukup buat Mendes dan Neves menyempurnakan penalti bagi memastikan Portugal menang dengan keputusan 5-3. A Selecao bergelar juara UNL buat kali kedua dalam sejarah kejohanan.

Mendes turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh UEFA dan Sofascore. Beliau mendapat markah 8.7 atas sumbangannya kepada Portugal.