Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo bakal terlepas menyertai saingan Piala Kelab Dunia FIFA.
Ini selepas Ronaldo memaklumkan beliau tidak akan beraksi dalam kejohanan itu. Ini ditambah dengan kelabnya, Al-Nassr gagal layak secara merit ke Piala Kelab Dunia FIFA.
“Saya takkan berada di Piala Kelab Dunia,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
“Sesetengah pasukan berhubung dengan saya. Sesetengahnya bersifat masuk akal dan ada juga yang tidak tetapi anda tidak boleh cuba dan lakukan segalanya. Anda tak boleh tangkap setiap bola.”
Kenyataan ini sekaligus memusnahkan harapan Presiden FIFA, Gianni Infantino. Sebelum ini, Infantino memberi bayangan Ronaldo berkemungkinan beraksi di Piala Kelab Dunia FIFA.
Ini membawa kepada khabar angin perpindahan yang mengaitkan beliau dengan beberapa kelab termasuk pesaing Al-Nassr, Al-Hilal.
Ini kerana bermula dari 1 hingga 10 Jun, kelab-kelab yang menyertai Piala Kelab Dunia FIFA berpeluang mendapatkan pemain lebih awal untuk menghadapi kejohanan itu.
Antara kelab yang telah mengorak langkah awal ialah Real Madrid, Chelsea dan Bayern Munich. Los Blancos misalnya mendapatkan khidmat bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold.
Ini ditambah dengan situasi kontrak Ronaldo dengan kelab Arab Saudi itu. Semakan semasa mendapati kontrak penyerang berusia 40 tahun itu akan berakhir pada 30 Jun ini.
Meskipun begitu, beberapa sumber memaklumkan BBC Sport bahawa Al-Nassr yakin dapat mengekalkan khidmat legenda Manchester United itu.