Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Aziz tampil meluahkan kekecewaan selain memohon maaf di atas kekalahan skuad bimbingannya di tangan Selangor dalam saingan Liga Super pada Ahad.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, empat gol di separuh masa kedua memusnahkan hajat Negeri Sembilan untuk mencipta kejutan ke atas naib juara musim lalu.
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh tiga pemain import yang berbeza iaitu dua jaringan daripada Yohandry Orozco manakala Ronnie Fernandez dan Reziq Bani Hani masing-masing menyumbang satu jaringan.
Azzmi Aziz yang ditemui selepas aksi tersebut berkata kekalahan 0-4 ini sememangnya mengecewakan skuad Sang Rusa dan beliau yakin anak-anak buahnya mampu beraksi lebih baik lagi.
Pertamanya, saya memohon jutaa kemaafan kepada para penyokong Negeri Sembilan yang datang hari ini (Ahad). Saya percaya mereka meletakkan harapan untuk (melihat) kita lebih baik sebenarnya,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik oleh Negeri Sembilan FC.
“Pastinya kita sangat kecewalah kerana kita boleh beraksi dengan lebih baik lagi. Tapi benda yang dilakukan tidak mengikut perancangan kita. Dan sesungguhnya kita merasa amat kecewalah.”
Tambahnya lagi, kini pasukannya akan berehat seketika sebelum memberikan tumpuan untuk aksi Piala FA berdepan Selangor lagi dan menjanjikan persembahan lebih baik akan ditampilkan para pemainnya.
“Pastinya kita akan berehat sebelum kita datang semula. Dan Insya Allah, kita akan jumpa Selangor (untuk aksi Piala FA) di sini juga. Mungkin pada petang lima belas haribulan nanti, kita akan tampil lebih baik lagi,” tambah bekas jurulatih PDRM tersebut.
Kekalahan semalam meletakkan kedudukan Negeri Sembilan kini berada di tangga tercorot liga tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan. Minggu lalu juga, skuad Rusa tunduk 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Aksi Liga Malaysia akan berehat seketika bagi memberi ruang buat perlawanan antarabangsa melibatkan skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 sebelum kembali bersambung dengan saingan pusingan pertama Piala FA.