Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim mengakui beliau bersedia melepaskan gaji puluhan ribu yang diterimanya bagi memastikan keluarganya selamat.
Nama bintang Selangor FC itu menjadi bualan ramai apabila menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada awal Mei lalu.
Situasi ini menyebabkan beliau perlu menjalani empat pembedahan di sebuah hospital di Lembah Klang bagi membantu proses pemulihannya. Faisal kemudiannya dibenarkan pulang pada 25 Mei lalu.
Sejak itu, beliau kini menjalani proses pemulihan di satu lokasi yang dirahsiakan oleh pengurusan Selangor atas faktor privasi dan keselamatan.
Pemain sayap Merah Kuning itu mengakui bimbang dengan keselamatan keluarganya selepas menjadi mangsa insiden tersebut.
Atas sebab itu, pemain sayap berusia 26 tahun bersedia melepaskan gaji puluhan ribu yang diterimanya demi memastikan keluarganya selamat.
“Saya sanggup hilang gaji puluhan ribu untuk berhenti bermain bola asalkan saya selamat (dan) keluarga saya selamat.
“Tapi apa yang (buat saya) semangat (ialah) yang Datuk Seri (Shahril Mokhtar) janjikan kepada saya dan keluarga saya, ‘Mickey, saya tahu awak boleh teruskan. Saya boleh jaminkan keselamatan awak dan keluarga.’
“Pada masa itulah saya rasa bersemangat untuk teruskan semangat untuk bermain bola kembali,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan pada hari ini.
Semangat juang yang ditampilkan Faisal dalam mengharungi fasa pemulihan mengagumkan ramai pihak termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon.