Advertising
“Semangatnya Begitu Besar Tetapi Badan Faisal Halim Belum Bersedia” – Johan Kamal
MakanBola
Selangor FC

Luka akibat kecederaan lecur tahap empat yang dialami pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim masih belum kering.

Perkembangan ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Merah Kuning dengan Johawaki Holdings Sdn Bhd hari ini.

Ad

Bintang Harimau Malaya itu terus menunjukkan perkembangan yang baik dari segi pemulihan. Faisal masih lagi berulang-alik ke hospital untuk mencuci luka dan membuat balutan baru untuk kecederaannya.

Ad

Buat masa ini, fokus utama pemulihan pemain sayap berusia 26 tahun itu ialah memastikan lukanya sudah pulih sepenuhnya. Selepas itu, barulah Faisal memasuki fasa pemulihan seterusnya membabitkan aspek kecergasan.

“Keutamaan kita buat masa ini adalah supaya lukanya kering sepenuhnya. Selagi lukanya belum kering, dia tidak boleh memulakan aktiviti lasak.

Ad

“Dia ada membuat fisioterapi ringan yang tidak berpeluh sangat supaya ototnya tidak terlalu keras. Dia perlu melengkapkan fasa pertama ini dahulu sebelum boleh mula memasuki fasa kedua.

Ad

“Masih ada luka basah ketika saya melawatnya sebelum ini, ada kuning-kuning yang saya tidak pasti, mungkin nanah tetapi yang jelasnya luka itu belum lagi kering,” katanya.

Ad

Meskipun proses pemulihan yang diharungi Faisal begitu mencabar, semangat juangnya mengagumkan Johan.

“Perkembangannya sangat memberangsangkan di mana doktor memaklumkan dia memerlukan tempoh tujuh minggu di hospital tetapi dia sudah keluar dalam tiga ke empat minggu. Sepatutnya dia menjalani sembilan pembedahan tetapi hanya empat.

“Saya rasa ini berkat doa seluruh rakyat Malaysia dan ketika ini, dia hanya fikir untuk kembali ke padang. Semangatnya begitu besar tetapi badannya masih belum bersedia.

“Saya katakan kepada Faisal supaya dapat bersabar, ambil masa untuk sembuh sepenuhnya dan fokus kepada kecergasan sebelum dapat kembali bermain,” ujarnya.

Sebelum ini, Faisal dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu bagi membantu proses pemulihannya. Walau bagaimanapun, lokasi terkini beliau dirahsiakan oleh pengurusan Selangor atas faktor privasi dan keselamatan.