Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim kini dipindahkan ke lokasi rahsia.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memaklumkan mengenai perkhabaran ini kepada Astro Awani.
Katanya, susulan isu keselamatan yang melibatkan pemain berusia 26 tahun itu dan juga keluarganya, keputusan untuk merahsiakan lokasi pemain tersebut adalah jalan terbaik.
“Jadi buat masa ini beliau buat recovery (pemulihan) bukan di rumah, di tempat yang kelab telah tetapkan atas faktor keselamatan. Jadi kalau ada apa-apa sidang media, kemudianlah.
“Beri masa agar bila Faisal Halim sudah betul-betul bersedia (buat penampilan). Tetapi ini akan mengambil masa yang lama sedikitlah. Dia tengah melalui dia punya proses pemulihan dia sekarang,” katanya.
Shahril turut memaklumkan bahawa pasukan perubatan bersetuju untuk membenarkan Faisal keluar dari hospital selepas tiga minggu menjalani rawatan selepas menjadi mangsa serangan asid pada 5 Mei lalu.
Walau bagaimanapun, Faisal Halim perlu berulang alik ke hospital untuk proses rawatan susulan termasuk urusan cuci luka dan sebagainya.
Tonggak Gergasi Merah itu telah menjalani pembedahan sebanyak 4 kali dan melalui proses pemulihan yang luar biasa.
Pemain pasukan Harimau Malaya itu dijangka akan kembali semula ke padang sekitar 3-6 bulan namun keutamaan untuk menjalani proses pemulihan ketika ini.