Selangor FC baru-baru ini telah berkongsi info terkini berkenaan pemain sayap pasukan, Faisal Halim yang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan selepas disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi kelab, Faisal dilaporkan sudah didiscajkan daripada pusat perubatan tersebut selepas menjalani empat pembedahan dan rawatan di sana.
“Pihak kelab dengan penuh kesyukuran ingin memaklumkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat, kesan daripada simbahan asid tempoh hari.
“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak,” jelas pihak kelab.
Kini Faisal berada di peringkat seterusnya dalam menjalani proses rawatan dan pemulihan. Pihak kelab dan keluarga Faisal juga memohon untuk memberikan privasi kepada Faisal dalam tempoh yang sukar ini.
“Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau. Pihak kelab dan keluarga Faisal memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya,” jelas kenyataan rasmi tersebut.
Faisal dijangka terpaksa berehat beberapa bulan untuk menjalani pemulihan selepas mengalami lecuran tahap empat dan terpaksa melupakan sebentar aksi bola sepak.