Segelintir penyokong Perak FC berhasrat untuk memboikot aksi pasukan berkenaan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 November ini.
Sebelum ini, aksi liga kedua-dua pasukan itu sepatutnya diadakan pada 17 Ogos lalu. Aksi tersebut kemudiannya terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan padang Stadium Perak yang digenangi air.
Aksi Perak dan JDT kemudiannya dibawa ke 5 Oktober lalu tetapi terpaksa ditangguhkan buat kali kedua atas sebab sama. Aksi ini kemudiannya dijadualkan pada 10 November ini dengan Stadium Manjung sebagai venue baru.
Walau bagaimanapun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meminta Perak menamakan venue alternatif selain Stadium Manjung atas faktor cuaca, isu lampu limpah stadium itu dan status aksi berkenaan.
Ini menyebabkan pengurusan The Bos Gaurus memohon SSI untuk dijadikan sebagai venue aksi Perak-JDT. Permohonan pasukan utara tanah air itu diluluskan MFL baru-baru ini.
Meskipun begitu, segelintir penyokong Perak mahu memboikot aksi pasukan itu. Salah seorang daripadanya ialah seorang penyokong bernama Fifie Taifei New.
Dia mempersoalkan keputusan pemilihan SSI sebagai venue alternatif sedangkan ada stadium-stadium lain yang boleh dijadikan sebagai pilihan.
“Pelik. Boleh satu negeri Perak yg bertuah ini tiada padang atau stadium yang ada kelayakan untuk adakan perlawanan bola sepak bertaraf MFL?!
“Dan dari Perak nak ke hujung selatan ada empat negeri lagi nak tempoh untuk sampai ke sana, juga tiada stadium yg layak?! Dahsyat, cukup dahsyat!!” katanya dalam satu komen di Facebook.
Tindakan segelintir penyokong The Bos Gaurus itu kurang dipersetujui oleh ramai penyokong lain. Bagi Faizal Arief, tindakan boikot sebegini hanya memberi kesan buruk kepada pasukan.
Dia merasakan penyokong perlu bersikap realistik dan memikirkan kesan seandainya perlawanan tertangguh lagi buat kali ketiga.
“Nak boikot tak guna. Kalau dilihat pasukan Kuching City lagilah rugi datang ke Pahang main sekejap saja. Sebab tunda. Bukannya murah tiket kapal terbang. Tapi nak buat macam mana terpaksa hadap. Mereka main sebab gaji dan negeri masing-masing,” katanya.
Seorang penyokong lain bernama Noor Azam Mohd Ali turut senada dengan Faizal. Ini kerana dia percaya Perak memilih SSI kerana tidak mahu aksi itu tertangguh lagi buat kali ketiga.
“Nanti pada tarikh perlawanan mungkin boleh lawat Stadium Manjung. Tengok hujan atau tidak. Mungkin pengurusan Perak tak nak ambik risiko pembatalan perlawanan buat kali ketiga,” ujarnya.
Pengurusan Perak memaklumkan penyokong yang menyimpan tiket untuk aksi berkenaan boleh menebusnya di kaunter-kaunter yang disediakan. Pasukan itu turut menyediakan pengangkutan percuma buat penyokong yang mahu bertandang ke SSI.