Bekas pemain tengah KL City FC, Sebastian Avanzini dilaporkan berada dalam radar pasukan Liga Super, Negeri Sembilan.
Pengurusan skuad Rusa dikhabarkan mahu mendapatkan pemain import baru sejajar dengan usaha pasukan itu untuk kembali mendaki kedudukan liga. Negeri Sembilan ketika ini berada di tangga ke-12 dengan empat mata daripada lapan perlawanan.
Kedudukan ini tidak dibantu dengan statistik pasukan itu dalam liga. Mereka hanya menjaringkan lapan gol dan telah dibolosi sebanyak 19 kali.
Hanya satu perlawanan saja mereka tidak dibolosi iaitu aksi menentang Sri Pahang FC pada 13 Julai lalu. Perlawanan itu juga menyaksikan mereka merekodkan satu-satunya kemenangan dalam liga dengan menewaskan Tok Gajah 2-0.
Ini membawa kepada khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Beliau melaporkan Negeri Sembilan merancang untuk menandatangani khidmat Avanzini.
“Difahamkan Negeri Sembilan mahu menandatangani Sebastian Avanzini. Kali terakhir beliau beraksi ialah untuk KL City FC dalam Liga Super tahun lepas,” katanya di X.
Meskipun hanya bersama The City Boys selama semusim, beliau merekodkan 31 penampilan, dua gol dan empat bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Avanzini turut membantu KL City layak ke Shopee Cup dengan membantu pasukan itu mara ke final Piala FA 2023. Berdasarkan semakan terkini di Transfermarkt, beliau masih belum mempunyai kelab selepas meninggalkan pasukan Lembah Klang itu pada Januari lalu.
Selain KL City, Avanzini pernah beraksi untuk beberapa kelab Eropah termasuk AC Horsens, Kl Klaksvik, Hobro IK dan BK Frem.
Sekiranya perpindahan ini direalisasikan, ini akan menjadi perubahan terbaru yang digerakkan pengurusan skuad Rusa. Terdahulu, pengurusan Negeri Sembilan merombak barisan kejurulatihan termasuk melantik K. Nanthakumar sebagai jurulatih baru pasukan.