Harimau Malaya berpotensi untuk memiliki calon pemain warisan lain selain tonggak baharu, Hector Hevel.
Baru-baru ini, satu pengumuman mengejutkan telah diumumkan oleh kelab Portugal, SC Portimonense selepas perancang tengah berusia 28 tahun itu dikatakan mendapat panggilan Malaysia.
DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran menunjukkan pertemuan yang telah berlaku antaranya dan juga Hevel pada bulan Januari yang lalu.
”31 Januari, semua dah lapor, cuma menunggu kelulusan kerajaan sahaja. Malas nak bising-bising,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman Instastory miliknya.
Terdapat sekurang-kurangnya dua lagi calon pemain warisan yang berpotensi memperkuat pasukan negara menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027.
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menyebut tentang pertahanan tengah FK Sabah, Jon Irazabal bakal menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya pada 17 Mac ini.
“Difahamkan pemain dari Liga Azerbaijan, Sabah FK, Jon Irazabal salah seorang daripada 3 pemain berdarah warisan yang bakal sertai kem latihan kebangsaan 17 Mac ini,” ujarnya di laman X.
Beliau turut menyebut tentang identiti seorang pemain warisan dari Sepanyol dalam radar pasukan kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend menyebut tentang 4 pemain yang bakal membantu pasukan kebangsaan dalam masa terdekat.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan,” katanya.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung identiti 4 pemain warisan baharu negara.