Pemain sayap berbisa Terengganu FC, Safawi Rasid secara rasminya meninggalkan pasukan, Jun ini.
Tonggak berusia 28 tahun itu menjadi watak penting pasukan Pantai Timur itu untuk menduduki tangga kelima Liga Super musim 2024/25.
Masa depan anak jati Dungun itu menjadi tanda tanya selepas rakan sepasukan, Akhyar Rashid telah kekal bersama Terengganu selaku pemain tetap.
Laporan terbaru daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan bahawa pemain sayap kebangsaan ini bakal pulang ke pangkuan JDT.
“Selamat pulang Safawi, difahamkan Safawi Rasid pulang ke pangkuan JDT selepas tempoh pinjaman bersama Terengganu berakhir 30 Jun 2025,” ujarnya di laman X.
Beliau yang mengetuai Terengganu selaku kapten pasukan musim ini berjaya menjadi antara penjaring terbanyak pasukan iaitu 18 gol dan 4 bantuan jaringan.
Hasrat untuk melihat gandingan bersama Akhyar di Terengganu masih belum tertutup selepas kelab dan Safawi masih belum memuktamadkan status bagi musim baharu.
Terengganu juga dilaporkan berusaha keras untuk membawa masuk beberapa muka baharu pada jendela perpindahan musim baharu terutamanya pada posisi serangan dengan nama Luqman Hakim menjadi sebutan.
“Kami sudah risik pemain itu (Luqman) bagi membolehkannya beraksi bersama TFC pada saingan Liga M nanti. Lagi pun kami serius untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan itu.
“Bagi memastikan ianya menjadi kenyataan, jika tiada aral pihak kami akan mengadakan pertemuan dengan pemain itu pada Mei nanti untuk perbincangan lebih terperinci,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.