Pemain sayap pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri mengucapkan selamat tinggal buat pasukan.
Tonggak lincah kelahiran Itali itu beraksi hampir tiga musim buat skuad Harimau Selatan dan mengecapi trofi pertama dalam kariernya di sini.
Beberapa siri kecederaan bagaimanapun menjejaskan rentaknya setelah terpaksa diketepikan buat beberapa kali musim ini.
Pemain berusia 34 tahun itu akhirnya mengumumkan perpisahan dengan JDT menerusi satu hantaran di laman sosial.
“Ini sukar untuk saya mengucapkan selamat tinggal tetapi ini adalah bola sepak. Saya ingin mengucapkan banyak terima kasih untuk beberapa tahun yang menakjubkan ini di JDT.
“Kepada Kiko, Martin, Alistair, kakitangan perubatan, kakitangan teknikal, penganalisis, pengurus pasukan, kakitangan pemasaran, pakar pemakanan, lelaki kit, tukang kebun, tukang cuci, tukang masak, keselamatan, dan semua orang di belakang tabir, terutamanya rakan sepasukan saya yang akan sentiasa saya hargai kenangan bersama anda semua.
“Terima kasih kepada peminat kerana sentiasa menyokong saya. Saya akan selamanya berterima kasih kepada bos dan keluarganya yang baik yang sentiasa menjaga saya dan keluarga saya,” katanya.
Aksi terakhir Forestieri bersama JDT adalah ketika menentang Kelantan Darul Naim pada bulan Jun di Stadium Sultan Ibrahim dan beliau menjaringkan gol pada minit ke-44.
Beliau hanya diturunkan sebanyak 4 perlawanan pada musim ini termasuklah aksi pra-musim menentang Lion City Sailors.