Pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berkongsi perbezaan aksi di AFC Champions League Elite (ACLE) dan juga Liga Malaysia.
Tonggak berusia 22 tahun itu menjadi wira Harimau Selatan apabila menjaringkan dua gol untuk mengikat Shanghai Port dengan keputusan 2-2.
JDT berjaya membawa pulang satu mata dari Shanghai sebelum melayan kunjungan satu lagi kelab China, Shanghai Shenhua pada 1 Oktober 2024.
Beliau bersyukur dapat membantu JDT untuk mengikat kelab China itu namun hampa tidak dapat meraih kemenangan pada aksi pertama.
“Pertama sekali, alhamdulillah untuk malam ini. Aksi pada malam ini menentang Shanghai Port amat sukar untuk kami, apa pun yang terjadi, pasukan sentiasa memberikan yang terbaik.
“Kami tidak bernasib baik kerana pasukan mensasarkan kemenangan tetapi hanya membawa pulang satu mata. Kita akan cuba lagi pada aksi berikutnya.
Arif Aiman sempat berkongsi perbezaan intensiti di ACLE dan Liga Malaysia sambil mengakui beliau bekerja keras untuk menjadi pilihan utama barisan kejurulatihan.
“AFC Elite merupakan pentas tertinggi bola sepak Asia. Ini adalah impian saya untuk beraksi di sini. Saya bekerja keras untuk beraksi di sini dan berkorban segalanya. Saya akan terus bekerja keras daripada sebelum ini,” katanya kepada Astro Arena.
JDT akan melayan kunjungan Kelantan United sebelum kembali menempuhi cabaran aksi di Asia.