Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon memaklumkan pasukan itu memiliki solusi berhubung isu kewangan yang membelenggu Liga Malaysia (Liga M) saban tahun.
Isu kewangan bukan perkara baru dalam Liga M. Antara isu yang selalu timbul ialah isu tunggakan gaji pemain, staf kejurulatihan dan pegawai.
Isu ini juga mengakibatkan beberapa kelab Liga M baik Liga Super mahupun Liga A1 Semi-Pro dikenakan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Lantaran itu, Johan melihat satu sesi meja bulat perlu diadakan melibatkan semua pemegang taruh sukan bola sepak bagi membincangkan isu ini.
Ini kerana pada hemat beliau, solusi kepada isu ini bukan saja memerlukan satu perubahan yang besar. Malah, ia turut menuntut semua pasukan untuk berkorban dan memberi komitmen mengatasi isu berkenaan.
“Kami terbuka tetapi jawapannya tidak mudah. Penyelesaian untuk isu (kewangan) yang setiap tahun akan meningkat memerlukan banyak perubahan yang besar. Bukan sahaja dari Selangor tetapi dari semua pasukan.
“Setiap orang harus beri komitmen dan berkorban untuk menjalankan perubahan. Apakah itu? Kita harus beri komitmen dan berbincang. Tapi ada jawapan. Semua orang ingin membuat perubahan tersebut.
“Jadi, saya rasa masing-masing harus bertanya. Kenapa di industri bola sepak? Adakah ia untuk jangka panjang atau jangka pendek? Itu satu soalan yang semua pemegang taruh bola sepak harus bertanya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Saranan Johan dibuat tatkala ada pasukan Liga Super terus bergelut menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.