Selangor FC belum memutuskan sama ada mahu mengekalkan Ronnie Fernandez atau tidak untuk musim 2025/26.
Selepas dibawa masuk sebagai pengganti penjaring terbanyak musim 2023, Ayron del Valle, Fernandez membuktikan dirinya sebagai peledak berbisa Selangor.
Beliau telah menjaringkan 16 gol daripada 38 penampilan dalam semua kejohanan musim 2024/25 buat Merah Kuning. Fernandez turut membantu Selangor muncul naib juara Piala FA dan MFL Challenge Cup.
Apabila ditanya tentang status penyerang Chile itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon memaklumkan keputusan akan dibuat selepas tamat musim 2024/25.
“Kita akan buat keputusan selepas perlawanan terakhir menentang PDRM,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Johan turut memaklumkan keputusan tentang siapa pemain yang perlu dikekalkan akan diputuskan oleh jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi.
“Sudah tentu kita nak pemain kita kekal (untuk musim depan). Tapi ini bergantung kepada Coach Kinoshi yang beliau rasa perlu diperbaiki pada tahun depan,” tambahnya.
Selangor bakal menutup kempen liga menentang PDRM FC pada 19 April ini.