Selangor tidak mahu melakukan tindakan popular dalam membuat keputusan tetapi lebih menilai dari sudut keberkesanan setiap langkah yang diambil.
Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam satu sesi audio siar My Sukan Corner terbitan Rakita.my
The Red Giants kini berjaya melangkah ke pentas bola sepak Asia buat kali pertama selepas 8 tahun sekaligus memenuhi aspirasi dan agenda pembaharuan yang digerakkan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas melaksanakan penswastaan pasukan.
Pasukan kendalian Nidzam Jamil kembali layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25 sekaligus menamatkan penantian selama lapan tahun selepas kali terakhir layak ke saingan Piala AFC pada 2016.
Antara cabaran dan sasaran pasukan Lembah Klang itu adalah untuk kekal konsisten dan layak beraksi dalam kejohanan tersebut setiap tahun.
“Fokus yang kita capai dari lima penjenamaan ini ialah jadi pasukan gergasi di rantau Asia. Itu kira agenda utama kita. Alhamdulillah, kita sudah pergi ke Asia.
“Sekarang, cabarannya ialah macam mana kita nak (jadikan) pencapaian konsisten. Setiap tahun kita ada di Asia, itu cara macam mana (nama) kita jadi nama yang dikenali dan sejauh mana kita dapat cabar pasukan-pasukan Asia,” katanya.
Bukan itu sahaja, Dr. Johan Kamal turut berkongsi antara keputusan tidak popular yang pernah dibuat oleh kelab adalah membawa pulang Safuwan Baharudin.
“Kita bukan jenis yang buat keputusan popular. Antara contoh keputusan tidak popular yang saya nak kongsikan ialah Safuwan Baharudin. 99.9 peratus penyokong akan kecam, bukan keputusan yang mudah.
“Tetapi kami (Selangor) di sini bukan untuk popular. Kami hanya menjalankan kerja kami. Berdasarkan data dan pemantauan yang dilakukan, kita membuat keputusan untuk membawa Safuwan pulang,” jelasnya.
Beliau bersyukur melihat penerimaan penyokong Selangor terhadap Safuwan yang menjadi tunjang utama pasukan musim ini.
“Sekarang Safuwan menjadi kapten Selangor. Kita boleh katakan semua orang bercakap beliau merupakan pemain yang penting. Beliau merupakan seorang pemain yang berkepimpinan.
“Ini adalah keputusan yang sukar untuk dilakukan dan kita di sini bukan untuk menjadi popular. Kita hanya mahu melakukan yang terbaik untuk kelab dan kadang kala bukan keputusan yang popular,” jelasnya lagi.