Hatrik pemain import baru skuad futsal Selangor FC, Wellington Pereira Rodrigues Adao membantu mereka membelasah wakil Thailand, Black Pearl United 5-2.
Selangor yang segar daripada kemenangan 3-0 ke atas Sanvinest Khanh Hoa semalam bersemangat memburu kemenangan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol pendahuluan.
Bagaimanapun, sentuhan penyudah Selangor lebih klinikal yang mendahului menerusi Wellington.
Black Pearl semakin tertekan apabila bintang muda negara, Syahir Iqbal Khan menggandakan lagi kelebihan The Red Giants.
Black Pearl merapatkan jurang menerusi Lucas Britto. Bagaimanapun, Wellington memastikan Selangor mendahului 3-1 semasa rehat dengan gol kedua peribadinya.
Bersambung pada babak kedua, Wellington mencipta hatrik sekaligus menyaksikan Selangor mendahului 4-1.
The Red Giants yang menduduki tempat ketiga Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 menambah satu lagi gol menerusi Matheus Vasconcelos.
Black Pearl berjaya menambah gol kedua tetapi sudah terlambat untuk menghalang Selangor daripada meraikan kemenangan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor menerajui Kumpulan B dengan enam mata daripada dua perlawanan. Itu sudah cukup untuk mencerahkan peluang layak ke peringkat separuh akhir Ho Chi Minh City Futsal Open 2023.
The Red Giants berpeluang layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan dengan syarat mereka menang atau seri dengan satu lagi wakil Vietnam, Thai Son Nam.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 25 Disember ini.