Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan di tempat lawan yang dihadapi pada musim 2024/25.
Musim 2024/25 menyaksikan Selangor belum merekodkan sebarang kemenangan di gelanggang lawan baik dalam Liga Super mahupun Piala FA.
Aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 di Kuching, Sarawak menyaksikan Merah Kuning tewas 2-1 kepada Kuching City FC. Selangor terpaksa bangkit dalam aksi suku akhir kedua untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA.
Dan terbaru, Merah Kuning tunduk lagi 1-0 kepada KL City FC dalam aksi terbaru liga pada 14 Julai lalu. Jovan Motica muncul wira The City Boys dengan meledakkan gol kemenangan.
Safuwan mengakui pasukan itu berdepan kesukaran mendapatkan keputusan positif di tempat lawan sejak kebelakangan ini. Ini ditambah aksi separuh akhir pertama bakal menemukan Selangor dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 19 Julai ini.
Pada masa sama, beliau melihat pendekatan Merah Kuning untuk menilai situasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain sebagai kunci untuk mendapatkan kemenangan di tempat lawan.
“Ya, saya rasa memang satu situasi yang kita semua tahu perlawanan di tempat lawan sukar untuk dapatkan keputusan (positif). Sudah dua perlawanan (kita tewas dengan) Kuching (City) dan KL (City). Kedua-dua perlawanan dengan prestasi yang tak memuaskanlah.
“Jadi, saya rasa ramai tahu main di tempat lawan agak sukar. Lebih-lebih lagi dengan Terengganu di tempat lawan. Jadi, kita akan tanganinya satu perlawanan pada satu-satu masa.
“Kita harus mencuba yang terbaik dan lihat apa yang kita boleh lakukan bila menentang Terengganu nanti,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Selangor mahu meraih kelebihan ke atas Terengganu pada 19 Julai ini sebelum aksi timbal balik pada 3 Ogos ini.