Advertisement
Selangor Pintas Ranking Pendahulu Liga Australia
Asia
MakanBola
FAM/SFC

Finalis Piala FA 2024, Selangor FC telah memintas ranking pendahulu Liga Australia (A-League) di Asia.

Gergasi Merah kini dalam momentum cemerlang selepas mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir MFL Challenge Cup 2024.

Selangor sebelum ini menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) telah menamatkan cabaran pada peringkat kumpulan dan fokus bersaing dalam dua kejuaraan domestik.

Laman analisis bola sepak dunia iaitu Opta Analyst menunjukkan kemajuan ranking pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi yang kini menghuni tangga ke-109 di Asia dengan 71.0 mata (1108 di dunia).

Kedudukan ini membolehkan Selangor untuk memintas ranking pendahulu A-League, Auckland FC yang berada di tangga ke-111 di Asia (1128 dunia).

Selangor bagaimanapun kekal selaku pasukan kedua terbaik dari Malaysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menghuni tangga ke-10 Asia.

Buriram United (45) dan Bangkok United (78) menjadi antara pasukan dari Asia Tenggara yang berada pada kedudukan lebih baik di Asia.

Auckland FC kini mendahului saingan Liga Australia selepas 9 perlawanan dengan 22 mata hasil 7 kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Skuad kendalian Steve Corica telah bertemu dengan pasukan kebangsaan Harimau Malaya pada satu aksi persahabatan tertutup menentang pada bulan Oktober lalu dengan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.