Advertisement
Nama Selangor Kembali Jadi Sebutan Di Asia
ACL
MakanBola
Selangor FC

Nama pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC kembali menjadi sebutan di Asia.

Ini selepas akaun media sosial rasmi Liga Juara-Juara AFC (ACL) memuat naik video perjuangan Merah Kuning dalam saingan ACL2.

Selangor layak ke saingan ACL2 selepas muncul naib juara Liga Super musim 2023. Pasukan itu berada dalam Kumpulan H bersama Muangthong United, Jeonbuk Hyundai Motors dan Dynamic Herb Cebu.

Selangor terkandas di peringkat kumpulan selepas mengumpul 10 mata daripada enam perlawanan. Merah Kuning meraih tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Aksi paling diingati bagi mana-mana penyokong Selangor dalam ACL2 ialah kemenangan mengejut 2-1 ke atas Jeonbuk pada 23 Oktober lalu.

“Selangor FC, semangat dan keazaman anda akan sentiasa diingati. Terima kasih untuk semua memori (anda)!” katanya di X.

Selepas terkandas di peringkat kumpulan, anak buah Katsuhito Kinoshi itu berharap dapat layak ke kejohanan itu untuk musim 2025/26. Ini kerana kedudukan kedua Liga Super merupakan slot kelayakan ACL2 secara merit.

Selangor menghuni tempat kedua dengan 35 mata, enam mata di hadapan pencabar terdekat, Sabah FC.

Merah Kuning berpeluang menjarakkan lagi kedudukan mata mereka apabila bersemuka dengan KL City FC pada 12 Januari 2025.