Selangor membawa masuk bekas penyerang Kedah Darul Aman, Willian Lira.
Pengumuman pemain berusia 32 tahun ini dibuat menerusi sebuah kenyataan di laman sesawang rasmi Selangor pada Khamis yang menyaksikan kepulangan Willian Lira ke Liga Malaysia.
”Selangor FC menyambut baik kehadiran penyerang baharu, Willian Lira sebahagian keluarga Gergasi Merah kini,” umum pihak kelab.
Untuk rekod, Willian Lira sebelum ini pernah bermain di liga Malaysia bersama Kedah Darul Aman pada tahun 2023 lalu dan merekodkan 8 jaringan dalam 14 perlawanan Liga Super.
Walau bagaimanapun, jodoh pemain itu bersama Kedah DA tidak berpanjangan apabila Willian Lira kemudian menyertai kelab dari Thailand, Chonburi FC pada bulan Julai 2023.
Lira menjadi tunjang utama di bahagian serangan Chonburi apabila merekodkan sebanyak 30 aksi dan berjaya meledak 15 gol dan 3 bantuan jaringan selama lebih setahun di sana.
Kemudian, penyerang kelahiran Brazil ini bersama Hatta Club yang berpangkalan di UAE sebelum kembali ke Malaysia dan memilih bagi menyarung jersi Selangor untuk saingan musim hadapan.
Kehadiran Lira dijangka bakal membentuk suatu rangkaian serangan bersama pemain sedia ada dan penyerang baru, Chrigor Moraes yang diumumkan beberapa hari yang lalu.