Isu tunggakan gaji mula melanda Liga Super Malaysia dengan yang terkini isu tersebut telah terjadi kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Difahamkan, barisan pegawai, pemain dan staf KDA FC sudah pun dibayar gaji setakat bulan Julai manakala bulan-bulan berikutnya kini sedang dalam proses untuk dilunaskan.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Pemegang Saham Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu sidang media yang diadakan sebentar tadi.
“Di saat ini, sebagai rekod, semua pegawai dan pemain KDA FC sudah dibayar gaji mereka sehingga bulan Julai 2023. Perancangan sedang dibuat untuk melunaskan gaji bulan Ogos sebelum berakhir minggu hadapan iaitu sebelum 7 November 2023.
“Insya-Allah gaji bulan September pula akan cuba dijelaskan di bulan November 2023 nanti. Ini adalah perancangan yang sedang dibuat dengan mengambil kira pelbagai pendekatan untuk mendapat pendanaan baharu sama ada melalui penajaan atau keberhutangan atau penjualan saham KDA FC,” jelas Tan Sri Daud dalam satu sidang media.
Dengan isu tunggakan gaji yang telah berlaku kepada pasukan Kedah, ianya bukanlah tiket untuk Tan Sri Daud untuk lepas tangan malah beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu berbangkit ini dan berjanji isu ini akan diselesaikan seberapa segera yang boleh.
Tan Sri Daud juga telah membuka tawaran kepada mana-mana pihak untuk membeli saham KDA FC sebagai salah satu ikhtiar bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji.