Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kyrgyzstan, Štefan Tarkovič mahu memastikan bahawa kemenangan mampu menjadi milik pasukannya berdepan Malaysia di Bukit Jalil.
Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 antara pasukan Malaysia dan Kyrgyzstan mencuri tumpuan tatkala kedua-dua pasukan memburu tiga mata.
Skuad kendalian Kim Pan-gon mahu memanfaatkan aksi di laman sendiri berdepan pasukan ke-96 dunia itu.
Jurulatih kelahiran Slovakia itu yang membawa barisan terbaiknya ke Malaysia mahu memastikan aksi pembukaan ini berjaya diharungi dengan cemerlang.
“Kami sudah melakukan persiapan untuk berdepan Malaysia. Sudah pasti sebagai seorang jurulatih masa untuk mempersiapkan pasukan sentiasa tidak cukup. Tetapi kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik esok.”
Beliau juga mengumpul sebanyak mungkin maklumat tentang kekuatan Harimau Malaya dan mencari titik kelemahan pasukan yang akan ditentangnya.
“Ya bukan sahaja Edgar Bernhardt, beberapa orang kakitangan saya dan juga orang yang saya kenal memberikan maklumat tentang Malaysia. Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk meraih tiga mata,” jelasnya kepada Astro Arena.
Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan pada 16 November 2023 Di SNBJ jam 9 malam.
Kemenangan berdepan Kyrgyzstan akan memberikan tambahan +15.49 mata buat skuad negara dalam misi melebarkan kedudukan dalam ranking FIFA.