Era baharu bola sepak dunia kini benar-benar telah bermula. Jika suatu ketika dahulu nama seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mendominasi senarai pemain paling bernilai, Piala Dunia 2026 menyaksikan generasi baharu mengambil alih takhta.
Berdasarkan data nilai pasaran terkini daripada Transfermarkt, lima pemain termahal di kejohanan ini terdiri daripada gabungan bintang muda dan pemain yang sedang berada di kemuncak prestasi mereka.
Lamine Yamal

Umur: 18 Tahun
Negara: Sepanyol
Nilai Pasaran: €200 Juta*
Lamine Yamal, sang penyambung legasi nombor 10 FC Barcelona selepas era Messi terus menjadi salah satu prospek paling berbahaya dalam bola sepak moden. Dalam musim 2025/2026, beliau sudah beraksi sebanyak 45 perlawanan dan berjaya mencatat sekitar 24 gol dan 18 bantuan jaringan secara keseluruhan. Ianya satu catatan statistik yang luar biasa bagi seseorang yang baru berusia 18 tahun. Lamine Yamal bukan sahaja menjadi pencipta peluang, tetapi juga pemain yang mampu mengubah struktur pertahanan lawan secara individu. Dalam Piala Dunia 2026, cabaran terbesar bukan pada bakatnya, tetapi pada bagaimana beliau mengendalikan tekanan pada perlawanan-perlawanan penting.
Erling Haaland

Umur: 25 Tahun
Negara: Norway
Nilai Pasaran: €200 Juta*
Sebagai penyerang utama Erling Haaland bersama Manchester City, statistiknya terus mengukuhkan statusnya sebagai mesin gol dunia. Dalam musim 2025/2026, beliau sudah bermain sebanyak 52 perlawanan dan berjaya merekodkan sekitar 38 gol dengan tambahan 8 bantuan jaringan secara keseluruhan. Haaland juga berjaya merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris 2025/2026 buat kali ketiga selepas berjaya memenanginya pada musim 2022/2023 dan 2023/2024. Angka ini menunjukkan betapa dominannya dia sebagai penyudah utama dalam sistem Manchester City dan pasukan Norway. Dalam Piala Dunia 2026, setiap peluang yang hadir di dalam kotak penalti hampir pasti menjadi ancaman serius kepada lawan. Tambahan lagi, selepas pasukan Norway akan kembali beraksi di Piala Dunia selepas sekian lama tidak beraksi sejak era bapa Haaland, Alf-Inge Haaland.
Kylian Mbappé

Umur: 27 Tahun
Negara: Perancis
Nilai Pasaran: €180 Juta*
Kylian Mbappé yang kini bersama Real Madrid terus membuktikan dirinya sebagai antara pemain paling eksplosif di dunia. Statistik 2025/2026 menunjukkan bahawa beliau sudah beraksi sebanyak 44 perlawanan dan berjaya menjaringkan sekitar 42 gol dan 7 bantuan jaringan secara keseluruhan. Beliau juga berjaya memenangi Trofi Pichichi La Liga 2025/26 dua kali berturut-turut selepas memenanginya pada musim lepas juga. Gabungan kelajuan, penyudah dan pergerakan tanpa bola menjadikannya ancaman utama dalam situasi transisi pantas, terutama di pentas Piala Dunia yang sering ditentukan oleh detik kecil. Harapan besar digalas oleh Mbappe selaku kapten pasukan Perancis untuk membawa pulang trofi Piala Dunia kembali ke Perancis setelah mereka memenanginya pada edisi 2018 namun pada edisi 2022, mereka gagal mempertahankannya setelah tewas dengan pasukan Argentina di final.
Pedri

Umur: 23 Tahun
Negara: Sepanyol
Nilai Pasaran: €150 Juta*
Pedri, sang maestro FC Barcelona yang peranannya lebih kepada mengawal tempo dan kestabilan permainan. Dalam musim 2025/2026, beliau sudah beraksi sebanyak 43 perlawanan dan berjaya membantu pasukan dengan 12 bantuan jaringan secara keseluruhan serta berjaya mencatat sekitar 92% ketepatan hantaran bagi purata kesemua perlawanan yang beliau bermain yang menunjukkan betapa pentingnya dia dalam fasa build-up. Dalam Piala Dunia kedua bagi dirinya, pengaruh beliau lebih kepada mengawal ritma permainan berbanding mencipta statistik mencolok mata. Adakah Pedri mampu membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia seperti apa yang dibuat oleh idolanya, Andres Iniesta? Tunggu dan nantikan.
Michael Olise

Umur: 24 Tahun
Negara: Perancis
Nilai Pasaran: €150 Juta*
Sementara itu, keterujaan membuak-buak bagi pemain sayap FC Bayern Munich, Michael Olise yang akan beraksi buat pertama kali mewakili negaranya, Perancis. Beliau yang semakin menyerlah sebagai playmaker moden dari bahagian sayap. Dalam musim 2025/2026, beliau menunjukkan satu statistik yang amat luar biasa. Beliau berjaya mencatat sekitar 22 gol dan 31 bantuan jaringan dalam 52 perlawanan yang beliau sudah beraksi. Ianya satu rekod yang paling tinggi dibuat oleh dirinya mengatasi rekod beliau di kelab lama beliau, Crystal Palace. Statistik tersebut membolehkan beliau memenangi ‘Bundesliga 2025/2026 Player of the Season‘ menewaskan calon utama yang lain yang juga rakan sepasukan beliau, Harry Kane. Jikalau Perancis memenangi Piala Dunia, beliau berpotensi untuk memenangi Anugerah Ballon d’Or pada musim ini berdasarkan statistik dan pencapaian pada musim ini yang amat menakjubkan.
*nilai pasaran semasa