Senarai 7 Negara ASEAN Tayang Piala Dunia 2026
MakanBola
Commbank Socceroos

Tujuh negara ASEAN bakal menayangkan siaran Piala Dunia 2026.

Malaysia menjadi negara ketujuh yang berbuat demikian baru-baru ini. Ini selepas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan.

Fahmi memaklumkan keputusan itu dicapai melalui kerjasama dengan sektor swasta bagi menjamin penyiaran berkualiti tinggi serta capaian meluas kepada penonton di seluruh negara.

Selain itu, peminat bola sepak juga boleh mengakses siaran perlawanan di pelbagai platform termasuk siaran percuma melalui MyTV dan platform OTT (platform penstriman) menerusi RTM Klik dan Unifi TV.

Susulan itu, Astro kini mengadakan perbincangan dengan pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia untuk menyiarkan perlawanan kejohanan itu di semua platform mereka.

Selain Malaysia, ASEAN Football melaporkan Indonesia, Kemboja, Singapura, Timor Leste, Filipina dan Vietnam turut mendapat hak menyiarkan Piala Dunia.

Indonesia, Singapura dan Vietnam masing-masing menyiarkan kejohanan itu menerusi TVRI, Mediacorp dan Vietnam Television.

Kemboja, Filipina dan Timor Leste pula menyiarkan Piala Dunia menerusi penyiar rasmi Hang Meas, Aleph Group dan ETO Telecom.

Sehingga artikel ini ditulis, Laos, Thailand, Brunei dan Myanmar sahaja yang masih belum ada penyiar rasmi untuk kejohanan berprestij itu.