Pentas Piala Dunia B-17 2025 bakal menyaksian kehadiran 9 negara dari benua Asia.
16 negara bersaing hebat di Piala Asia B-17 yang merupakan aksi kelayakan bagi melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia B-17 dengan hanya 8 pasukan terbaik sahaja yang akan mara nanti.
Ini bermakna 8 pasukan yang melangkah ke suku akhir Piala Asia B-17 sahaja yang akan mara ke Piala Dunia dengan aksi peringkat kumpulan baru sahaja menutup tirainya pada lewat Jumaat.
Qatar yang merupakan pasukan tuan rumah Piala Dunia B-17 bagi edisi 2025 menjadi wakil Asia pertama yang menempah tempat ke kejohanan itu dan akan melakukan penampilan ke-9.
Selepas itu, Uzbekistan dan Arab Saudi mengikuti langkah apabila berhasil menghuni dua tangga teratas kumpulan A Piala Asia B-17 dengan masing-masing mengutip 9 serta 6 mata.
Juara bertahan Piala Asia B-17, Jepun menepati ramalan dan layak ke Piala Dunia apabila muncul selaku juara kumpulan B diiringi Emeriah Arab Bersatu yang berkongsi 4 mata hasil 3 perlawanan.
Kejutan berlaku di kumpulan C apabila wakil Asia Tenggara, Indonesia berjaya ke Piala Dunia B-17 secara merit buat kali pertama dalam sejarah diikuti Korea Selatan yang berada di tempat kedua.
Korea Utara dan Tajikistan melengkapkan senarai 9 wakil dari Asia yang akan beraksi di Piala Dunia B-17 apabila kedua-dua negara tersebut menamatkan aksi kumpulan D di kelompok 2 terbaik.
8 pasukan dari peringkat kumpulan Piala Asia B-17 ini masih perlu beraksi di pusingan suku akhir dan menamatkan aksi meskipun objektif utama untuk menempah tempat ke Piala Dunia B-17 telah berjaya.
Kejohanan Piala Dunia B-17 dijadualkan berlangsung bermula 3 sehingga 27 November hadapan dengan 48 pasukan bakal bersaing hebat untuk merebut gelaran juara bagi edisi ke-20 ini.
9 negara Asia di Piala Dunia B-17 2025
1- Qatar.
2- Uzbekistan.
3- Arab Saudi.
4- Jepun.
5- UAE.
6- Indonesia.
7- Korea Selatan.
8- Korea Utara.
9- Tajikistan.