Aksi pra-musim juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sudah melabuhkan tirainya selepas lebih dua minggu berada di Sepanyol untuk beberapa aksi persahabatan.
JDT telah melalui sebanyak 6 aksi persahabatan di Sepanyol dengan merekodkan lima kemenangan dan juga satu kekalahan.
Daripada enam aksi pra-musim yang dilalui, sebanyak 17 gol berjaya dicetak para pemain JDT dengan hanya dibolosi lima jaringan.
Melalui satu hantaran penganalisis bebas bola sepak Malaysia, Juan Budiman di laman X, seramai 10 penjaring gol telah membantu kemenjadian aksi pra-musim JDT di Sepanyol.
Ramadhan Saifullah mendahului rekod jaringan dengan empat gol manakala empat lagi pemain iaitu Nazmi Faiz, Gabriel Nistelrooy, Francisco Geraldes dan Oscar Arribas masing-masing menyumbang dua gol.
Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Hanapi pula meledak satu gol bersama-sama empat lagi rakan sepasukannya yang lain iaitu Endrick Dos Santos, G. Pavithran, Jalil Elias dan Nicolao Dumitru.
JDT akan memulakan aksi Liga Super dengan perlawanan tumpuan Piala Sumbangsih menentang seteru utama, Selangor FC pada 10 Mei yang bakal dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.