Sentuhan Kim Pan-gon Pimpin Ulsan Atasi Pohang Steelers
MakanBola
Ulsan HD FC
Sponsors

Magis bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon terus membantu Ulsan HD memperkukuh cengkaman di persada K-League 1.

Kali ini, giliran juara Korean FA Cup 2023, Pohang Steelers pula menjadi mangsa The Tigers di Stadium Bola Sepak Munsu dalam aksi terbaru liga.

Ad
Sponsors

Perlawanan ini juga dilihat prekuel untuk final Korean FA Cup 2024 buat kedua-dua pasukan. Ini selepas Ulsan dan Pohang berjaya mara ke pentas final selepas mengatasi Gwangju dan Jeju United di peringkat separuh akhir.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Ulsan berusaha memberi tekanan menerusi gandingan penyerang mereka, Yago Cariello dan Kang Yun-gu.

Tekanan tersebut membuahkan hasil apabila bintang baru The Tigers dari Georgia, Giorgi Arabidze meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit keenam.

Ad

Tersentak, Pohang yang dibimbing Park Tae-ha berusaha mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, mereka kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi Hong Yun-sang empat minit selepas itu.

Ad

Kelegaan pelawat tidak bertahan lama apabila Arabidze sekali lagi menembusi gawang Pohang pada minit ke-36. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Ad

Bersambung pada babak kedua, Pan-gon mengeluarkan Arabidze selepas bekas bintang Torpedo Kutaisi itu dilihat mengalami kecederaan pada separuh masa pertama.

Jurulatih berusia 55 tahun itu memasukkan pemain tengah Jepun, Ataru Esaka untuk menambah kemantapan di bahagian tengah tuan rumah.

Kemasukan Esaka dan seorang lagi pemain gantian, Um Won-sang membantu Ulsan menambah satu lagi gol menerusi Cariello pada minit ke-58.

Melihat pasukannya semakin ketinggalan, Tae-ha berusaha mengubah momentum memihak kepada Pohang dengan membuat beberapa pertukaran pemain.

Malangnya, apa yang dihajati beliau tidak berlaku. Pohang bernasib baik apabila sepakan lambung Kim Young-gwon tidak masuk ke gawang kosong mereka pada minit ke-70.

Gustav Ludwigson menambah gol keenamnya bersama The Tigers musim ini dengan gol keempat pada minit ke-79.

Tindakan penjaga gol Ulsan, Jo Hyeong-woo keluar dari gawang pada minit ke-83 memakan diri apabila Jorge Teixeira menjaringkan gol kedua Pohang.

Young-gwon memastikan kemenangan milik juara K-League 1 musim 2023 itu dengan menolak bola masuk ke gawang Pohang pada minit ke-86. Keceriaan tuan rumah sedikit terjejas apabila Eo Jeong-won menyumbat gol ketiga pelawat pada minit ke-88.

Pohang terus memberi tekanan kepada pelawat menerusi gol keempat yang dijaringkan pemain gantian, Lee Tae-seok. Namun begitu, itu tidak cukup untuk menghalang Ulsan daripada meraikan kemenangan pada akhir perlawanan.

Selepas ini, The Tigers bakal menentang Gangwon pada 13 September. Manakala Pohang pula berdepan Gwangju pada hari yang sama.