Seorang pemain yang dipanggil ke kem latihan kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 bersama Malaysia difahamkan terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Beliau yang tersenarai dalam kalangan 25 orang pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon bagaimanapun dikatakan terpaksa menarik diri.
Khabar ini mula tular selepas seorang pemain tidak dapat meneruskan langkah untuk membawa cabaran negara berdepan Kyrgyzstan pada 16 November ini.
Aksi berdepan pasukan ke-96 dunia itu sudah pasti penting kepada anak buah pengendali kelahiran Korea Selatan ini dalam misi memperbaiki kedudukan negara.
Perkara ini dikukuhkan lagi oleh perkongsian daripada Capiq Sahari yang memaklumkan bahawa pertahanan kanan negara, Azam Azmi Murad terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Beliau yang dijangka akan memberikan saingan terbaik kepada Matthew Davies bagaimanapun terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Kelibat Azam bagaimanapun masih lagi berada di kem kebangsaan semalam namun dijangka akan dimuktamadkan oleh pengumuman rasmi tidak lama lagi.
Malaysia akan melayan kunjungan Kyrgyzstan pada 16 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.