Penyerang kebangsaan, Sergio Aguero mahu membantu Malaysia meraih gelaran juara Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) buat kali pertama sejak 2010.
Edisi 2010 cukup istimewa bukan saja buat Harimau Malaya tetapi juga untuk rakyat Malaysia. Ini kerana ini kali pertama Malaysia muncul juara kejohanan itu sejak diadakan pada 1996.
Harimau Malaya muncul juara selepas menewaskan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2. Penyerang legenda, Safee Sali turut diangkat sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.
Aguero bukan asing dengan saingan PMEA. Ini kerana beliau menjadi sebahagian daripada skuad negara yang beraksi dalam edisi 2022 di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Aguero turut menyumbat dua gol dalam aksi menentang Laos dan Singapura. Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir sebelum tewas kepada juara bertahan, Thailand untuk edisi berkenaan.
Kekecewaan dalam PMEA edisi sebelumnya membakar semangat penyerang berusia 30 tahun itu untuk mengakhiri penantian trofi Harimau Malaya buat kali pertama sejak 2010.
“Setiap kali Harimau Malaya memanggil saya, saya rasa bangga dan gembira bila beraksi di atas padang. Ya, saya sudah bersedia (untuk PMEA).
“Ya, saya berharap tahun ini, kita dapat berikan kegembiraan kepada Malaysia dengan meraih kejuaraan (PMEA),” katanya.
Aguero menjadi sebahagian daripada 26 pemain Harimau Malaya yang dipanggil pengendali pasukan itu, Pau Marti Vicente untuk PMEA 2024. Sembilan daripadanya pernah beraksi dalam edisi 2022.
Selain Aguero, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Rahadiazli Rahalim, Stuart Wilkin, Darren Lok, Daniel Ting, Dominic Tan, Haqimi Azim Rosli dan Khuzaimi Piee turut berada dalam skuad edisi 2022.
Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan B PMEA 2024 dengan menentang Kemboja pada 8 Disember ini.