Pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero sentiasa bersedia jika dipanggil ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon bagi menyarung jersi keramat Harimau Malaya selepas ini.
Aguero yang berusia 30 tahun telah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada saat akhir bagi menghadapi cabaran hebat Chinese Taipei untuk aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Saya sentiasa mahu berada di sini (skuad kebangsaan). Bila mana jurulatih memanggil saya, saya akan berada di sini. Tidak kira sehari sebelum atau 10 hari sebelum, saya akan tetap berada di sini,” jelas Aguero ketika ditemui media selepas perlawanan menentang Chinese Taipei semalam.
Mengulas mengenai aksi beliau ketika menentang Chinese Taipei, Aguero berpuas hati dapat menyumbang sesuatu buat skuad kebangsaan walaupun masuk pada separuh masa kedua.
“Ya saya rasa apabila saya masuk di separuh masa kedua, saya memberikan sesuatu kepada pasukan. Saya berpuas hati,” katanya lagi.
Pada aksi menentang Chinese Taipei semalam, gerakan yang direncana Aguero membantu Malaysia mendapatkan gol pertama. Aksi Aguero tidak terhenti di situ selepas dikesan beberapa kali mengancam kubu Chinese Taipei dengan gerakan merbahaya.
Malaysia terpaksa akur tidak layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menghuni tangga ketiga Kumpulan D yang menyaksikan Oman dan Kyrgyzstan mengesahkan kemaraan masing-masing.