Pemain bola sepak pantai Malaysia, Faisal Saharuddin menganggap setiap aksi pasukan itu dalam saingan Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025 ibarat final
Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Bahrain, Oman dan negara serantau, Vietnam. Ini kali ketiga skuad negara layak dalam sejarah kejohanan.
Meskipun begitu, Malaysia bakal berdepan tugas sukar jika ingin layak ke pusingan seterusnya. Ini kerana berdasarkan ranking semasa, Bahrain dan Oman masing-masing menduduki ranking ke-17 dan 49 dunia.
Walaupun sedar cabaran sukar yang akan dihadapi skuad negara, Faisal percaya Malaysia mampu mencipta kejutan dalam kejohanan itu.
“Perlawanan pertama (menentang Bahrain) ibarat perlawanan final. Sebab perlawanan pertama penentu kita layak ke pusingan kedua atau sebaliknya.
“Jadi, perlawanan pertama itu kita harap (dapat) mata dan kemenangan,” katanya.
Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan D dengan menentang Bahrain pada 21 Mac. Ini disusuli aksi menentang Oman pada 23 Mac.
Skuad negara akan menutup kempen kumpulan dengan turun menentang Vietnam pada 25 Mac. Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Asia Bola Sepak Pantai ialah layak ke suku akhir edisi 2019.