Pasukan Malaysia bakal berdepan cabaran dua negara dari Teluk Parsi, Bahrain dan Oman dalam aksi kumpulan D Piala Asia Bola Sepak Pantai 2025.
Skuad negara kendalian Saiful Md Noor kini sudah berada di Pattaya, Thailand bagi menjalani persiapan terakhir sebelum memulakan kempen di Piala Asia Bola Sepak Pantai pada 21 Mac ini.
Berada di kumpulan D, pasukan kebangsaan bakal membuka saingan dengan berdepan Bahrain pada Jumaat, 21 Mac dan Oman akan menjadi lawan kedua skuad Harimau Malaya dua hari kemudian.
Malaysia akan menutup saingan kumpulan dengan berdepan Vietnam pada Selasa, 25 Mac ini dan bakal meneruskan aksi di pusingan kalah mati jika berada di kedudukan dua teratas.
Jika layak, skuad Harimau Malaya akan beraksi di pusingan suku akhir yang dijadualkan pada 26 dan 27 Mac hadapan, diikuti peringkat separuh akhir Piala Asia Bola Sepak Pantai pada 29 Mac.
Pemenang di peringkat separuh akhir akan bertarung di final pada 30 Mac hadapan untuk menentukan gelaran juara Asia untuk edisi ke-11 pada tahun 2025 ini.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan ke-3 bagi pasukan negara di pentas Piala Asia Bola Sepak Pantai setelah mara pada edisi 2017 di Malaysia serta 2019 di Pattaya, Thailand lalu.
Pada edisi 2023 yang lalu, Iran muncul sebagai juara setelah mengatasi Jepun 6-0 di perlawanan akhir yang berlangsung di Pattaya, Thailand sementara Oman pula berada di tempat ke-3.