Penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri Md. Fauzi lega kerana dapat membalas kepercayaan jurulatih, P. Maniam.
Shahrel diberi kepercayaan beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama untuk musim 2024/25 menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Ini selepas peledak utama The Cops, Ifedayo Olusegun tidak dapat diturunkan kerana kurang sihat.
Shahrel yang bergandingan bersama Bruno Suzuki di bahagian serangan membalas kepercayaan Maniam dengan meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-22. Ini juga gol pertama beliau bersama PDRM musim ini.
JDT kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Oscar Arribas 11 minit selepas itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Shahrel mengakui disebabkan ini kali pertama beliau beraksi dalam kesebelasan utama, beliau merasa gugup pada awalnya. Pada masa sama, penyerang berusia 29 tahun itu lega kerana dapat membalas kepercayaan yang diberi Maniam.
“Saya mula-mula rasa gugup sebab yalah ini kali pertama beraksi dalam kesebelasan utama. Dan saya dapat buktikan kepada jurulatih (P. Maniam) saya dapat balas kepercayaan dia,” katanya kepada MakanBola selepas perlawanan pada 31 Julai lalu.
Keputusan ini menyaksikan PDRM berada di tangga ke-11 liga dengan lima mata selepas enam perlawanan.
Selepas ini, The Cops bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan FC untuk aksi liga seterusnya pada 11 Ogos ini.