Penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri menunaikan janji beliau kepada jurulatih PDRM, P. Maniam bahawa beliau akan mejaringkan gol.
Shahrel menjadi watak penting dalam kemenangan 2-1 PDRM ke atas Negeri Sembilan FC bagi perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam.
P. Maniam menceritakan bahawa sebelum perlawanan, beliau ada bertanyakan kepada Shahrel adakah beliau akan menjaringkan gol menentang Negeri Sembilan.
Shahrel menjawab pertanyaan P. Maniam itu dengan yakin bahawa beliau akan menjaringkan gol dan ianya dibuktikan dengan satu jaringan pada aksi tersebut.
“Sebelum perlawanan, saya tanya dia (Shahrel Fikri), Shahrel macam mana boleh jaringkan gol tak? Dia beritahu, saya akan jaringkan gol coach.
“Dan dia (buktikan) jaring gol sekali lagi. Kredit untuk Shahrel. Malah tadi saya tanya lagi dekat dia. Menentang KL (Kuala Lumpur City FC) nanti boleh skor tak? Dia cakap boleh skor.
“Jadi kita bukan bagi tekanan, kita beri keyakinan yang dia boleh jaringkan gol,” tegas P. Maniam seperti yang dikongsikan Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Selain meledak satu jaringan, Shahrel turut menyumbang satu bantuan gol buat jaringan yang dihasilkan Bruno Suzuki sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga PDRM di gelanggang lawan.
PDRM kini berada di tangga ke-8 Liga Super dengan mengumpul lapan mata selepas tujuh perlawanan yang diharungi. Untuk aksi seterusnya, PDRM bakal bertemu KL City pada 16 Ogos depan di laman sendiri.