Shanghai Port & Shenhua Berebut Status Jaguh China
MakanBola
Shanghai Shenhua/Shanghai Port

Dua lawan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Shanghai Port dan Shanghai Shenhua kini berentap untuk gelaran juara Chinese Super League (CSL).

Persaingan Port dan Shenhua untuk bergelar juara liga kini diheret ke perlawanan terakhir musim pada 2 November ini. Dengan kedua-dua pasukan dipisahkan dengan satu mata, kemenangan perlu diraih bagi memastikan gelaran juara menjadi milik mereka.

Shenhua terlepas peluang mendapatkan kelebihan tiga mata apabila diikat 2-2 dengan Shenzhen Peng City. Sementara Port pula kekal di hadapan selepas menewaskan Changchun Yatai 4-3.

Port bukan saja berharap dapat mempertahankan gelaran juara CSL yang diraih pada 2023. Malah, ini dilihat hadiah perpisahan terbaik buat kapten mereka dari Brazil, Oscar.

Ini kerana musim 2024 merupakan musim terakhir bekas bintang Chelsea itu bersama Port. Sejak menyertai kelab itu pada 2017, Oscar telah membantu kelab itu bergelar juara CSL pada 2018 dan 2023.

Kejayaan bergelar juara CSL juga dilihat satu pencapaian manis buat jurulatih Port dari Australia, Kevin Muscat. Ini kerana beliau boleh menambah satu lagi gelaran juara dalam senarai pencapaiannya.

Muscat pernah merasai nikmat juara liga bersama kelab A-League, Melbourne Victory dan kelab J1 League, Yokohama F. Marinos.

Sementara Shenhua pula mahu meraih gelaran juara buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab itu. Kelab itu sudah merasa nikmat gelaran naib juara pada 2005, 2006 dan 2008.

Seperti Muscat, pengendali Shenhua dari Russia, Leonid Slutskiy juga mahu menambah koleksi kejuaraan liga dalam senarai pencapaiannya. Jurulatih berusia 53 tahun itu merasai gelaran juara liga bersama CSKA Moscow pada 2012/13. 2013/14 dan 2015/16.

Aksi terakhir liga pada 2 November menyaksikan Port berdepan Tianjin Jinmen Tiger. Sementara Shenhua pula berdepan Chengdu Rongcheng.