Indonesia bakal menghantar skuad B-22 bagi menghadapi aksi Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurulatih, Shin Tae-yong pada sesi perkenalan bersama Asean United di Indonesia baru-baru ini.
“Ya, saya akan membawa pemain B-22 ke Piala AFF. Jadi, kemampuan pasukan akan berkurang berbanding pasukan lain.
“Kami akan berusaha semaksimum mungkin dan berazam untuk ke final. Kami sudah mencapai kemajuan sehingga kini jadi harapan saya adalah untuk ke final Piala AFF,” jelasnya.
Timnas Indonesia ketika ini sedang bersaing hebat pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan berjaya meraih tiga keputusan seri.
Sang Garuda berjaya layak ke peringkat separuh akhir pada edisi lalu sebelum tunduk dengan agregat 2-0 di tangan Vietnam kendalian Park Hang-seo.
Sebelum ini, Ketum PSSI iaitu Erick Thohir telah memberitahu bahawa Indonesia akan menghantar pemain muda bagi membawa misi negara.
“Seronok dapat bertemu Shin Tae-yong semula yang sudah sihat, dan siap kembali bekerja,” kata Erick Thohir.
“Kami juga mula membincangkan mengenai persiapan ke Piala AFF dan Sukan SEA dengan mempersiapkan skuad bawah 22 tahun. Bismillah skuad kebangsaan dapat memberikan aksi yang terbaik.”
Indonesia diundi dalam kumpulan A bersama Myanmar, Vietnam, Laos dan juga Filipina dengan aksi pertama pada 9 Disember 2024.