Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong kembali ke Indonesia sebagai jurulatih.
TVOneNews melaporkan bekas jurulatih Timnas Garuda itu kini memikul tugas sebagai jurulatih skuad bola sepak tujuh sebelah Indonesia (bola sepak mini).
Ini selepas Indonesia Football 7 Federation mengedarkan surat jemputan rasmi kepada media Indonesia untuk sidang media pengenalan Tae-yong sebagai jurulatih pasukan itu.
Sidang media itu dijangka berlangsung di Menara Imperium, Kuningan, Jakarta pada 30 April ini.
Wartawan sukan Kompas, Firzie A. Idris memaklumkan Indonesia Football 7 Federation tiada kena-mengena dengan dua badan yang bertanggungjawab mengendalikan bola sepak mini negara itu, FSMI dan KSMI.
Ini kerana meskipun kedua-dua badan itu mengendalikan aktiviti bola sepak mini, fokus mereka tertumpu kepada bola sepak enam sebelah.
Firzie turut memaklumkan pelantikan tersebut dibuat oleh badan yang menguruskan aktiviti bola sepak tujuh sebelah. Ini berkemungkinan merujuk kepada Indonesia Football 7 Federation.
Yang pasti, Tae-yong bertanggungjawab memimpin pasukan tujuh sebelah Indonesia bagi menghadapi cabaran Intercontinental Cup 2026 yang akan diadakan di Itali.
Jurulatih Korea Selatan itu bukan asing dengan Indonesia. Ini kerana Tae-yong pernah memimpin pasukan itu dari 2020 hingga 2025.
Selain Indonesia, beliau juga pernah membimbing Ulsan HD, Korea Selatan dan Seongnam FC.