Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong sedar diri mengenai jurang yang besar di antara Indonesia dan Australia menjelang aksi kedua-dua pasukan pada 10 September di Stadium Gelora Bung Karno.
Bagi Tae-yong, pasukan kendaliannya yang berada di ranking ke-133 dunia pasti berdepan kesulitan berdepan Australia yang kini berada jauh di atas mereka iaitu di ranking ke -24 dunia.
Namun begitu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengesahkan bahawa para pemainnya berada dalam keadaan yang terbaik bagi menghadapi saingan sengit Australia.
“Perlawanan esok (menentang Australia) memang tidak mudah bagi kami kerana Australia berada di ranking 20-an FIFA sedangkan Indonesia di posisi 130-an, jadi pasti ini akan jadi perlawanan yang sangat sulit bagi kami.
“Pada saat ini, kondisi pemain dalam keadaan baik, para pemain tidak akan pernah menyerah. Bagaimanapun caranya, mereka akan menjadikan perlawanan ini sebagai perlawanan yang baik menentang Australia,” ujar Shin Tae-yong seperti dilaporkan PSSI.
Tae-yong dalam masa yang sama mengharapkan doa dari semua rakyat Indonesia agar Indonesia berjaya mencipta kemenangan dalam perlawanan itu.
Untuk rekod, Indonesia telah mencipta kejutan pada aksi pertama pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas berjaya mengikat Arab Saudi dengan keputusan 1-1 di gelanggang lawan.
Perlawanan bertemu Australia ini merupakan perlawanan kedua mereka dan perlawanan pertama di gelanggang sendiri. Indonesia sudah pasti mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri lebih-lebih lagi tiket perlawanan dilaporkan sudah habis terjual.