BG Pathum mencatat kemenangan pertama dalam saingan Shopee Cup setelah menumpaskan kelab Kemboja, Svay Rieng di laman sendiri pada Rabu.
Setelah diikat seri tanpa jaringan oleh PSM Makassar, BG Pathum meneruskan aksi di pentas Asia Tenggara dengan bertemu Svay Rieng yang cipta kejutan ke atas Terengganu.
Kesebelasan utama BP Pathum dipimpin oleh pemain tengah, Chanatip Songkrasin sementara Gabriel Silva mengetuai jentera serangan Svay Rieng untuk memburu jaringan.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, tuan rumah menguasai lebih separuh penguasaan bola dengan menekan kubu Svay Rieng melalui hantaran-hantaran pendek yang kemas.
Usaha berterusan ini membuahkan hasil setelah penyerang, Raniel berjaya mencetak gol pendahuluan buat BG Pathum hasil lorongan berkualiti Shinnaphat Lee Oh pada minit ke-31.
Pelawat berpeluang untuk menyamakan kedudukan empat minit berselang namun rembatan voli Cristian Roque tepat ke arah dakapan penjaga gol BG Pathum, Saranon Anuin
Separuh masa pertama tamat, BG Pathum 1-0 Svay Rieng.
Bersambung babak kedua, Svay Rieng mula meningkatkan serangan ke arah pintu gol tuan rumah dan hampir mencipta jaringan sebelum tandukan Souey Visal ditepis oleh Anuin.
Jaringan penyamaan yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-62 menerusi Pablo yang melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk Svay Rieng mengikat kedudukan 1-1.
Belum sempat juara Liga Kemboja ini menarik nafas lega, BG Pathum pantas membalas dengan gol kedua hasil tampanan kemas penyerang lagenda, Teerasil Dangda seminit selepas itu.
Aksi di Stadium Pathum Thani berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 memihak BG Pathum United.
Perlawanan ketiga peringkat kumpulan bakal berlangsung pada 8 Januari dengan BG Pathum akan menanti kunjungan Dong A Thanh Hoa manakala Svay Rieng bertemu PSM Makassar di laman sendiri.