Aksi saingan Shopee Cup malam ini menyaksikan BG Pathum United bangkit belasah Shan United yang berakhir dengan keputusan 4-1.
Kedua-dua pasukan membariskan kesebelasan utama terbaik. Ini adalah perlawanan wajib menang dari BG Pathum United untuk terus menghidupkan peluang layak ke pusingan seterusnya.
Selepas setengah jam aksi, Shan United berjaya membuka jaringan pertama menerusi pemain sayap, M. Bakayoko selepas kesilapan daripada pemain BG Pathum United.
Separuh masa pertama tamat, tuan rumah, Shan United 1-0 BG Pathum United.
Akhirnya pada minit ke-64, BG Pathum berjaya merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh pemain tengah, Freddy Alvarez.
Pada minit ke-79 permainan, penyerang gantian BG Pathum United, Raniel menjaringkan gol kedua pasukan dengan rembatan deras dalam kotak penalti.
Lima minit sebelum tamat permainan, dua gol berjaya dihasilkan BG Pathum United menerusi Nattawut Suksum yang bijak mencuri peluang di atas kealpaan pemain pertahanan Shan United.
Ketika ini, BG Pathum United berkongsi mata bersama PSM Makassar dengan lapan mata di tangga pertama dan kedua. Sementara itu, Shan United kekal berada di tangga terakhir kumpulan tanpa sebarang mata.