Advertisement
Shopee Cup: Buriram United ‘Bedil’ Borneo
Asia Tenggara
MakanBola
Borneo FC Samarinda

Aksi tumpuan Shopee Cup pada Khamis menyaksikan Buriram United membelasah Borneo FC Samarinda.

Setelah tumpas di tangan KL City dalam aksi terakhir, Borneo hadir ke Thailand untuk bertemu kelab gergasi Thai League 1, Buriram United yang membelasah Kaya 7-0 di laman sendiri.

Supachai Jaided dan Theerathon Bunmathan jadi sandaran utama pengendali Buriram United, Osmar Loss sementara barisan pemain Borneo diketuai oleh kapten, Stefano Lilipaly.

Tuan rumah cemerlang membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Lucas Crispim yang melepaskan rembatan jarak dekat menewaskan penjaga gol Borneo, Nadeo Argawinata.

Dua minit kemudian, gawang Borneo bocor lagi hasil ledakan kencang oleh Guilherme Bissoli untuk menceriakan kem dan penyokong tuan rumah yang mendahului 2-0 di awal aksi.

Sebelum rehat, giliran pertahanan Buriram United, Marcelo Djalo pula menambah derita pasukan Borneo dengan gol ke-3 buat Thunder Castle mengatasi Argawinata

Separuh masa pertama tamat, Buriram United 3-0 Borneo.

Bersambung di babak kedua, Buriram semakin mengganas apabila menjaringkan gol keempat perlawanan oleh pemain gantian, Ratthanakorn Maikami empat minit sebelum aksi tamat.

Aksi di Chang Arena berakhir dengan keputusan 4-0 memihak Buriram United.

Saingan Shopee Cup seterusnya diadakan pada 23 Januari hadapan dengan Buriram United akan menentang Lion City Sailors manakala Borneo melayani kunjungan Kaya di laman sendiri.