Buriram United mengesahkan kemaraan ke final Shopee Cup meskipun diikat tanpa jaringan oleh BG Pathum United dalam aksi separuh akhir kedua.
Thunder Castle berpeluang menambah koleksi trofi musim 2024/25 jika berjaya mara ke final. The Rabbits pula perlu mengatasi defisit dua gol jika mahu menghalang kemaraan Buriram.
Penyerang Singapura, Ikhsan Fandi menjadi sandaran gol BG Pathum. Supachai Chaided dan Guilherme Bissoli mengetuai jentera serangan Buriram.
Separuh masa pertama menyaksikan Thunder Castle berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi gandingan Bissoli dan Supachai.
Pemain tengah Austria, Peter Zulj hampir memecah kebuntuan buat pelawat pada minit ke-17. Malangnya, rembatan beliau dari luar kotak penalti berjaya dinafikan Saranon Anuin.
12 minit kemudian, Zulj sekali lagi mencemaskan pertahanan BG Pathum. Walau bagaimanapun, percubaan bekas pemain tengah Changchun Yatai itu berjaya dinafikan Saranon.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, BG Pathum mula meningkatkan tekanan ke arah gawang Buriram.
Mereka hampir mendahului pada minit ke-49 menerusi Freddy Alvarez. Malangnya, percubaan tepat beliau berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Chatchai Budprom.
Kesukaran The Rabbits menembusi pertahanan pelawat mendorong jurulatih mereka, Supachai Komsilp memasukkan Chanathip Songkrasin dan Sarach Yooyen.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini sudah cukup Buriram mara ke final dengan kemenangan agregat 3-1.
Thunder Castle bakal berdepan wakil Vietnam, Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) di peringkat akhir pada 14 dan 21 Mei. CAHN mara selepas menyingkirkan wakil Indonesia, PSM Makassar.
Ini bukan kali terakhir Buriram dan BG Pathum bertemu. Ini kerana kedua-dua pasukan akan sekali lagi berentap dalam aksi separuh akhir Thai FA Cup pada 10 Mei.