Shopee Cup: Buriram United Kekal Yakin Tanpa Dua Tonggak
MakanBola
ASEAN United

Buriram United tetap yakin meraih keputusan positif menjelang aksi final pertama Shopee Cup meskipun beraksi tanpa dua tonggak.

Keyakinan itu dizahirkan jurulatih Thunder Castle, Mark Jackson apabila ditanya tentang situasi berkenaan.

Buriram tempang tanpa dua tonggak, Guilherme Bissoli dan Goran Causic. Ini kerana kedua-dua pemain perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas mengutip kad merah dalam aksi separuh akhir kedua.

Meskipun mengakui ketiadaan Bissoli dan Causic sedikit sebanyak mengganggu perancangan beliau, Jackson memilih untuk bersikap positif.

Ini kerana pada hematnya, ini memberi ruang kepada pemain lain untuk tampil cemerlang dalam kesebelasan utama.

“Kehilangan pemain berkualiti sebegitu sudah tentu ia mengecewakan. Ini kerana pada tahun ini, mereka telah menunjukkan bahawa mereka memainkan peranan penting buat pasukan.

“Tapi satu perkara saya cuba dan cakap kepada para pemain sepanjang masa ialah kita tidak bercakap tentang individu, kita bercakap tentang pasukan. Dan inilah masa di mana pemain mendapat peluang sekarang (dalam kesebelasan utama) dan dan kita dapat lihat kita ada satu pasukan yang kuat.

“Kita ada pemain walaupun mereka tidak mendapat banyak minit permainan, mereka sedia untuk masuk dan memainkan peranan untuk kelab. Jadi, saya yakin sepenuhnya dengan semua pemain yang akan tampil (dalam perlawanan esok),” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Buriram United turun dalam aksi final pertama dengan misi mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi 2024/25.

Buriram akan berdepan Selangor FC dalam aksi final pertama di Stadium MBPJ pada 20 Mei ini.