Kelab Vietnam, Cong An Ha Noi FC (CAHN) kekal rekod 100% dalam Kumpulan B Shopee Cup apabila menewaskan Borneo FC 3-2.
Borneo perlu menewaskan CAHN jika ingin mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B. CAHN pula berharap dapat mengekalkan rekod kemenangan 100% selepas mara ke separuh akhir.
Hugo Gomes dan Vitao mengetuai cabaran CAHN di Stadium Hang Day. Habibi Jusuf menjadi sandaran gol jurulatih Borneo dari Sepanyol, Joaquin Gomez.
Separuh masa pertama menyaksikan CAHN berusaha mencari kelebihan gol awal menerusi Le Van Do dan Nguyen Dinh Bac.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan Pesut Etam diketuai Gabriel Furtado bekerja keras menafikan setiap asakan yang direncana tuan rumah.
Gol pendahuluan CAHN akhirnya tiba pada minit ke-20 menerusi Van Do. Van Do melepaskan satu rembatan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol, Nadeo Argawinata.
Tatkala anak buah Mano Polking menyangka mereka mendahului 1-0 sehingga rehat, Habibi memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bersambung selepas rehat, Gomez membuat satu pertukaran dengan memasukkan Gavin Kwan Adsit menggantikan Leo Guntara.
Pesut Etam hampir meraih gol kedua menerusi Berguinho pada minit ke-65. CAHN bernasib baik kerana percubaan bekas pemain Volta Redonda itu tersasar.
Pengendali CAHN, Mano Polking kemudiannya memasukkan beberapa tonggak utama sebagai pemain gantian. Antara pemain yang dimasukkan ialah Nguyen Quang Hai, Leo Artur dan Alan Grafite.
Kemasukan pemain-pemain ini mengubah kembali momentum memihak kepada tuan rumah. Dinh Bac melambungkan bola melepasi Nadeo untuk meletakkan CAHN kembali di hadapan pada minit ke-81.
Tatkala CAHN menyangka mereka telah meraih tiga mata, Gavin menyumbat gol penyamaan Borneo lima minit selepas itu.
Pesut Etam kemudiannya ditimpa malang apabila pengadil, Chae Sang-hyeop menganugerahkan sepakan penalti kepada CAHN. Ini selepas Christophe Nduwarugira dikesan menjatuhkan pemain tuan rumah dalam kotak penalti.
Artur pantas menyempurnakan penalti yang menewaskan Nadeo pada minit ke-91. Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan CAHN menjuarai Kumpulan B dengan 15 mata. Mereka mara ke separuh akhir sambil diiringi Buriram United selaku naib juara kumpulan.
Juara Thai League 1 musim 2023/24 itu mara selepas menyingkirkan wakil Malaysia, KL City FC 1-0 dalam satu lagi aksi di Chang Arena. Borneo menamatkan kempen Kumpulan B di tangga ketiga kumpulan.
CAHN bakal berdepan satu lagi wakil Indonesia, PSM Makassar di peringkat separuh akhir pada 2 dan 30 April ini. Juku Eja mara selaku naib juara Kumpulan A.