KL City terpaksa akur tewas di minit akhir di tangan Cong An Ha Noi (CAHN) dalam aksi Shopee Cup 24-25 pada Khamis.
Setelah tewas 3 aksi berturut-turut, KL City kembali ke ibu kota untuk aksi ke-4 Shopee Cup berdepan pasukan dari Vietnam, CAHN yang ketika ini menang 3 perlawanan awal kumpulan.
Kesebelasan utama KL City dibarisi nama berpengalaman seperti Paulo Josue serta Giancarlo Gallifuoco sementara kapten skuad Vietnam, Nguyen Quang Hai ketuai pemain CAHN.
Seawal minit ke-9, Quang Hai meletakkan CAHN di hadapan menerusi percubaan jarak dekat apabila menerima hantaran jauh oleh rakan sepasukan sebelum menembusi gawang KL City.
Seakan tersentak, KL City mula bangkit mengatur serangan dan berjaya menyumbat gol penyamaan menerusi tandukan Adrijan Rudovic berpunca dari sepakan penjuru di minit ke-22.
9 minit kemudian, giliran kapten sensasi KL City, Paulo Josue mencipta nama sebagai penjaring setelah menanduk masuk hantaran Jovan Motika menewaskan Filip Nguyen di gawang CAHN.
Separuh masa pertama tamat, KL City 2-1 CAHN.
Permainan di babak kedua menyaksikan pasukan bimbingan CAHN mula bangkit dengan kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-67 hasil tandukan Viet Anh menembusi pintu gol KL City.
Malang buat KL City apabila dua pemain utama, Kamal Azizi dan Paulo Josue dibuang padang oleh pengadil perlawanan apabila didakwa mengasari para pemain CAHN pada lewat aksi.
Kelebihan 2 orang pemain digunakan sebaiknya oleh CAHN untuk menjaringkan gol kemenangan pada penghujung aksi menerusi Le Van Do untuk memastikan 3 mata menjadi milik pelawat.
Perlawanan di Stadium Bola Sepak Cheras berakhir dengan keputusan 3-2 memihak CAHN.
Aksi terakhir kumpulan pada 6 Februari ini menyaksikan KL City akan menentang Buriram United di Thailand manakala CAHN bakal bermain di laman sendiri berdepan Borneo.